Homestay Papitusulem
Homestay Papitusulem adalah singkatan atau akronim bagi Parit Tujuh Sungai Leman (Parit Pitu Sungai Leman – dalam bahasa Jawa). Ini yang menjadi keunikan homestay ini di mana rata-rata masyarakatnya adalah dari keturunan Jawa.
Terletak kira-kira 120 kilometer dari Kuala Lumpur, ia merupakan antara destinasi yang terawal yang akan dilalui dari arah Klang/ Shah Alam. Pekan Sekinchan merupakan pekan terdekat dengannya.
Homestay ini menawarkan keunikannya tersendiri di mana masyarakatnya masih lagi kuat berpegang kepada adat dan budaya. Ini dapat dilihat dengan adanya alat ‘cempuling’ dimainkan di mana hanya segelintir masyarakat Jawa yang tahu bermain alat tradisional ini. Selain itu, wayang kulit jawa, dan zapin jawa yang masih kekal dipraktikkan hingga kini.
Selain itu, keindahan sawah padi yang luas terbentang pada sebahagian besar kampung ini dapat dinikmati oleh pelancong yang datang ke sini. Ternakan belut yang diusahakan penduduk kampung juga dapat dilihat di mana para pelancong akan dapat merasai sendiri bagaimana keenakkan daging belut yang dimasak pelbagai jenis masakan.
Industri kecil dan sederhana (IKS) berkembang pesat di kampung ini. Antara yang tersohor adalah Syarikat MHP Enterprise di mana syarikat ini mengusahakan pelbagai jenis kuih tradisional Melayu iaitu bahulu disamping beberapa produk lain seperti kerepek, dan kuah pecal. Pelancong atau pelawat akan dapat merasai sendiri bagaimanakah keenakan rasanya makanan-makanan yang dihasilkan ini.